TAHNIAH KAD'09!!

Author: helwipmapium // Category:
1 OGOS 2009/ Sabtu

Sekalung tahniah ditujukan kepada adhoc-adhoc Konsert Antara Dunia yang berlangsung semalam. Penat lelah kalian selama beberapa bulan ini, dilihat sungguh berbaloi dengan program yang berjalan lancar dan hampir 5000 penonton yang hadir pada malam tersebut. Program yang julung-julungnya di adakan ini adalah anjuran GAMIS bersama Rabbani Production yang turut menampilkan kumpulan-kumpulan nasyid terkenal tanah air seperti Rabbani, Hijjaz dan Raihan. Juga tidak ketinggalan jemputan khas dari Indonesia, Shoutul harokah dan juga Nibras dari Mesir.

Kesemua kumpulan nasyid berwibawa tersebut disatukan di atas pentas berprestij, stadium Melawati Shah Alam pada malam semalam. Kehadiran mereka di sampbut dengan tepukan gemuruh penonton. Program ini diserikan lagi dengan perasmian oleh Yang Berbahagia Dato' Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat. Seusai perasmian dilancarkan, laungan takbir bergema di setiap pelusuk stadium besar tersebut.

Turut menampilkan lagu-lagu perjuangan dari Shoutul Harokah yang sudah pun terkenal di kalangan aktivis pejuang di Malaysia seperti Mars Kehidupan, Rabithah, Bingkai Kehidupan dan banyak lagi. Lebih menarik lagi konsert yang diadakan ini, disertakan juga dengan selingan tazkirah ringkas dan persembahan teater daripada kumpulan Rabbani/Hijjaz dan juga Gamis Theater Group (GTG) dari pelajar-pelajar tahun 2 Jabatan Dakwah dan Pembangunan Insan, APIUM. Teater yang dipersembahkan kepada penonton adalah bertepatan dengan tazkirah dan lagu-lagu yang ingin disampaikan.

Apa pun jua, diucapkan tahniah kepada sahabat-sahabat di Jabatan Dakwah yang berjaya bersama-sama dengan artis-artis berpengalaman dan semoga mendapat pelbagai pengalaman yang berguna setelah berada di tempat tersebut. Semoga dengan itu, kalian dapat meneruskaan kelangsungan dakwah tidak kira di medan mana anda berada. Harapan yang diberikan oleh Encik Azadan, wakil daripada Rabbani juga adalah supaya GAMIS meneruskan usaha dalam menyampaikan dakwah khususnya kepada muda mudi sekarang. Dalam ucapannya juga, beliau menyatakan hasrat yang tidak berbelah bagi untuk bersama-sama GAMIS lagi dalam pelbagai program lain yang akan dianjurkan selepas ini.

Pimpinan GAMIS juga turut menyatakan rasa gembira kerana target penonton dikalangan muda-mudi tercapai akhirnya. Program hiburan altenatif yang disediakan khas buat mereka telah berjaya dilaksanakan pada malam semalam dengan kehadiran penonton hampir 5000 orang dan sebahagiannya adalah dikalangan muda-mudi.

0 Responses to "TAHNIAH KAD'09!!"

Catat Ulasan