Antara lelaki dan perempuan, Allah mengadakan pertalian persahabatan (9:71). Namun, yang paling manis sekali yang diadakan-Nya pada mereka ialah perasaan cinta dan pengasihan, seperti kata-Nya yang berbunyi "Dia mengadakan di antara kamu, cinta dan pengasihan" (30:21). Perasaan cinta dan pengasihan ini selanjutnya mengikat kedua-dua jantina ini dalam ikatan perkahwinan agar mereka dapat hidup bersama, dengan halal, dan bersatu dalam kebahagiaan.
Perkahwinan, yang disuruh Allah, adalah lawan bagi amalan zina. Ini disimpulkan setelah diperhati tiap-tiap ayat al-Qur'an yang mengandungi kata ikatan perkahwinan, di mana kata ini sentiasa dituruti kata lawannya, iaitu perzinaan. Sebagai contoh ialah ayat yang berbunyi "Maka kahwinilah mereka dengan izin keluarga mereka .... sebagai wanita-wanita dalam ikatan perkahwinan, bukan dalam perzinaan" (4:25).
Amalan zina adalah bukan sahaja dilarang, malah, ia dilarang daripada mendekatinya jua. Firman-Nya, "Dan janganlah mendekati zina; sesungguhnya ia satu kesumbangan, dan jalan yang jahat" (17:32). Lupakanlah sahaja keinginan untuk melakukan zina!
Amalan sumbang dan jahat ini bukan suatu fenomena yang baharu dalam masyarakat. Pengamalannya yang meluas adalah sejak dari zaman dahulu lagi, seperti pada zaman Nabi Yahya dan Mariam (ibu Nabi Isa), iaitu kira-kira dua ribu tahun dahulu. Andaian dibuat setelah mendapati Allah menyebut dengan jelas kepada bapa Nabi Yahya (Zakaria) bahawa anaknya yang bakal dilahirkan adalah seorang yang suci daripada kejahatan nafsu berahi (3:39), sementara Mariam pula, disebut sebagai seorang perempuan yang menjaga kemaluannya (21:91 dan 66:12). Mereka berdua tentu telah menjadi contoh teladan yang terbaik pada zaman itu.
Zina bukanlah amalan orang-orang lelaki dan perempuan yang mukmin (yang mempercayai Allah dan Kitab-Nya), kerana mereka diperintah supaya menjaga kemaluan mereka. Firman-Nya, "Katakanlah kepada orang-orang mukmin supaya mereka menundukkan pandangan mereka, dan menjaga kemaluan mereka" (24:30). Pandangan yang tidak dikawal dan kemaluan yang tidak dijaga adalah punca berlakunya perzinaan.
Lelaki dan perempuan yang berzina, setelah sabit kesalahan, iaitu keterangan empat saksi, dihukum dengan seratus sebatan tiap-tiap seorang (24:2). Sekirannya bilangan seratus ini dikatakan hudud (had-had) Allah, maka pada hemat saya, bilangannya adalah had maksimum. Pelaksanaannya pula, menurut ayat itu lagi, hanya disaksikan oleh segolongan orang mukmin, bukan disaksikan oleh orang ramai seperti terdapat pada amalan sesetengah masyarakat Islam di dunia.
Penuduh ke atas perempuan yang berkahwin dan tidak mendatangkan empat saksi, dikenakan lapan puluh sebatan pula, dan kesaksiannya tidak lagi diterima selama-lamanya. Cakapnya tidak dipercayai lagi. (24:4) Hukuman ke atas penzina adalah tidak seberat hukuman yang dikenakan ke atas pencuri. Pencuri lelaki dan pencuri perempuan dihukum dengan memotong tangan-tangan mereka (5:38). Itu pun juga, pada hemat saya, adalah had maksimumnya.
Tanpa bapa
Hukuman adalah hanya ke atas penzina, tidak pada anak-anak yang mereka lahirkan. Hukuman yang dikenakan ke atas anak-anak mereka berupa istilah, seperti anak luar nikah, atau anak haram, yang lazim digunakan. Sebaliknya pula, kata-kata ini tidak seharusnya menjadi sebutan orang-orang Islam, kerana ia tidak disebut, atau tidak diajar oleh Allah di dalam kitab-Nya, al-Qur'an. Justeru, anak-anak yang tidak berdosa itu sewajarnyalah tidak dizalimi dengan cercaan seperti ini.
Kezaliman pada anak-anak ini ditambah lagi apabila wujud undang-undang yang menyuruh mengosongkan tempat bagi nama bapa-bapa mereka (dan butiran lain mengenainya) pada sijil pengakuan kelahiran mereka, atau surat beranak. Walhal, surat beranak adalah suatu dokumen yang merekodkan kelahiran bayi, dan mereka pula, seperti bayi-bayi lain, tidak seperti Nabi Isa yang dilahir tanpa bapa!
Dengan tidak mencatat nama bapa, dan butiran lain mengenainya, pada surat beranak anaknya, kelihatan pula seperti dapat melepaskan kaum lelaki (yang sama-sama terlibat dalam kejahatan) daripada tanggungjawab mereka, dan selanjutnya memungkinkan mereka untuk berterusan dalam dosa zina dengan perempuan-perempuan lain.
Anak angkat
Bagi kanak-kanak, menurut al-Qur’an, seharusnya diketahui siapa bapa-bapa mereka, kerana sekiranya mereka dijadikan anak-anak angkat, maka mereka hendaklah dibinkan menurut nama bapa-bapa mereka yang sebenar. Firman-Nya, "Dan tidak juga Dia membuatkan anak-anak angkat kamu sebenarnya anak-anak kamu ... Panggillah mereka mengikut bapa-bapa mereka yang sebenar; itu lebih adil di sisi Allah. Jika kamu tidak mengetahui siapa bapa-bapa mereka, maka mereka adalah saudara-saudara kamu dalam agama, dan peliharaan" (33:4-5).
Hukum
Malang menimpa lagi pada kanak-kanak yang lahir daripada perzinaan, kerana wujud pula dalam ajaran "Islam" suatu hukum yang menetapkan mereka (yang perempuan) boleh membatalkan air sembahyang bapa-bapa mereka dengan hanya menyentuh kulit mereka. Kedudukan mereka sama dengan perempuan lain yang halal berkahwin dengan bapa mereka.
>>Untuk pengisian bersama, kami merasakan artikel ini cukup baik untuk semua pihak. Diharapkan, pengisian ini dapat membantu sedikit sebanyak apa yang telah menjadi kekusutan di fikiran masing-masing.. Banyak lagi bab mengenai perihal tentang wanita ini, nantikan sambungannya..Selamat membaca!! (^-^ )